Fairy Notes-Kasihanilah kami rakyat biasa yg membeli kereta atas dasar keperluan.berapa byk RM $ melayang untuk membaiki kerosakkan kereta kerana keadaaan jalan yg teruk
JALAN berlubang, retak, mendap, beralun, penutup lubang yang terbenam
atau di atas paras jalan, tampalan tidak sempurna dan berpasir sering
menjadi igauan ngeri pengguna jalan raya terutamanya mereka yang pernah
menjadi mangsa.
Umpama jalan maut, ia bukan sahaja mengakibatkan banyak peralatan
sokongan kenderaan seperti penyerap hentakan dan tayar mudah rosak dan
bocor, malah mengundang kecederaan serta kehilangan nyawa.
Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia
(Miros) juga mendapati, faktor kemalangan jalan raya bukan hanya
tertumpu kepada faktor manusia, bahkan jalan raya dan kenderaan turut
menyumbang.
Kesedaran pengguna tentang bahaya itu menyebabkan banyak aduan
mengenai kerosakan jalan raya dilaporkan di media. Kini, usaha itu
menjadi lebih mudah dengan memaparkannya di laman web atau media sosial
seperti Facebook dan Twitter.
Kerosakan jalan terutama masalah rekahan dan berlubang biasanya
berlaku disebabkan kelemahan lapisan permukaan jalan apabila turapan
jalan telah digunakan dalam tempoh yang lama.
Ia juga berpunca daripada faktor turapan yang tidak sempurna, keadaan
cuaca seperti hujan, ketiadaan sistem saliran yang baik dan beban
aliran trafik secara berlebihan seperti kenderaan yang membawa lebih
muatan.
Bahagian-bahagian tanah mendap dan beralun di jalan raya sering kali
disebabkan oleh saliran yang kurang baik, sistem paip bawah tanah atau
kerja-kerja menggali untuk memasang kabel.
Keadaan itu boleh menjadi pembunuh terutamanya kepada kenderaan kecil seperti pengguna motosikal.
Di Lembah Klang termasuk di sekitar ibu negara masalah jalan
berlubang bukan masalah terpencil, sebaliknya menjadi rungutan tidak
berkesudahan pengguna jalan raya.
Nyaris maut
Beberapa jalan di ibu negara seperti di Jalan Tun Razak, Jalan Pahang
menuju Jalan Danau Kota, Jalan Hulu Kelang, Jalan Sultan Ismail, Jalan
Taman Desa dan sepanjang Jalan Ampang dan beberapa laluan lain sering
berhadapan masalah jalan berlubang.
Seorang pengguna motosikal, Amalina Zahir, 24, pernah ditimpa
kecelakaan apabila tayar skuter yang ditunggangnya masuk ke dalam lubang
sedalam 30 sentimeter di jalan berhadapan LRT Damai, Keramat.
Dia nyaris kehilangan nyawa apabila skuternya terjatuh dan hampir dilanggar kenderaan lain dari belakang.
“Kejadian berlaku sebelah malam, memang tak nampak lubang itu sebab
digenangi air. Tayar skuter saya kecil jadi bila masuk dalam lubang tu
memang tak mampu nak imbang, terus jatuh.
“Alhamdulillah, saya cuma mengalami cedera ringan tapi motosikal
saya rosak teruk dengan banyak bahagian yang perlu diganti,” katanya
yang masih trauma dengan kejadian itu.
Seorang lagi mangsa, Mashud Sahid, 40-an, terpaksa menerima 15
jahitan di kepala apabila motosikalnya digesel sebuah kenderaan yang
cuba mengelak sebuah lubang besar di Jalan Tun Razak berhampiran Rumah
Temasek.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika dia dalam perjalanan dari Sungai Besi ke pusat bandar.
“Saya jatuh dan berguling di atas jalan selepas bergesel dengan kereta itu.
“Alhamdulillah, kereta itu tidak berapa laju. Saya cedera di kepala
selain beberapa anggota badan lain hingga terpaksa ditahan di wad,”
katanya mengenang semula kejadian yang berlaku lewat tahun lalu.
Bagaimanapun, kerja-kerja mengorek dan menampal jalan memang menjadi
pemandangan biasa di jalan-jalan raya di Malaysia. Di sekitar Kuala
Lumpur sahaja, kerja mengorek dan menurap jalan mempunyai kesan yang
mendalam kepada pengguna jalan raya terutama jika dilakukan pada waktu
siang.
Kerosakan jalan raya
Kerja-kerja ini mengundang kemarahan orang ramai kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas yang berganda.
Tetapi kekerapan berlakunya kerosakan jalan raya terutama di lokasi
yang sama menimbulkan tanda tanya, sejauh manakah kualiti membaikpulih
dan kerja penyelenggaraan jalan raya yang dilakukan?
Pakar Pengangkutan Awam Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor berkata,
banyak jalan terutama di sekitar Kuala Lumpur tidak diselenggara dengan
baik dan secara profesional.
Malahan kebanyakan pekerja yang melakukan kerja baikpulih tidak terlatih dan berkemahiran dalam kerja itu, dakwanya.
“Banyak jalan yang diturap dan dibaikpulih cepat rosak. Kadangkala
jalan yang diturap hanya mampu bertahan setengah tahun sahaja dan ada
yang kurang daripada itu.
“Apabila hujan, air mula bertakung menyebabkan lubang atas jalan
bertambah besar sedikit demi sedikit dan akhirnya membahayakan pengguna
jalan raya terutama mereka yang menggunakan kenderaan kecil seperti
motosikal,” katanya ketika dihubungi.
SEORANG penunggang motor sempat mengelak lubang yang besar di Jalan Prima, di Taman Metroprima, Kepong, Kuala Lumpur.
Kaedah yang digunakan negara maju seperti United Kingdom dalam
menyelenggara dan membaikpulih jalan yang rosak boleh dijadikan contoh.
Mereka melaksanakannya secara profesional dengan menggunakan tenaga
kerja yang berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan jalan bagi
memastikan kualitinya sama dengan jalan yang asal, jelas Abd. Rahim
yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM).
Beliau berkata, Malaysia perlu menubuhkan satu badan pemantau bebas
khusus mengawasi kerja-kerja baik pulih jalan raya terutama
projek-projek yang memerlukan jalan raya dikorek dan diturap semula.
“Pihak ketiga ini akan melaporkan sekiranya syarikat yang
melaksanakan projek itu gagal mencapai spesifikasi yang ditetapkan dan
mereka mungkin dikenakan denda dan sebagainya.
“Dengan cara ini syarikat-syarikat yang berkenaan akan lebih serius
dan tidak melaksanakannya sekadar melepas batuk di tangga sahaja,”
katanya.
Pihak yang dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja membaikpulih
kerosakan jalan harus memikirkan bebanan yang dihadapi pengguna jalan
raya terutama kos penyelenggaraan dan membaik pulih kenderaan selain
risiko kecederaan atau kematian.
Melalui maklumat balas daripada bengkel-bengkel kenderaan di sekitar
Kuala Lumpur, kos membaiki dan menyelenggara kenderaan meningkat kerana
jalan yang rosak dan berlubang.
Di Malaysia, motosikal merupakan kenderaan paling popular bagi
tujuan pengangkutan di bandar kerana kos kendaliannya yang lebih murah
serta praktikal terutama dalam mengharungi kesesakan.
Namun, risiko mereka lebih tinggi ketika berhadapan dengan jalan
yang rosak dan berlubang ujar pengasas kelab DR Moto, Azlan Sani Zawawi
atau lebih dikenali dengan nama Lando Zawawi, 36.
Motosikal rosak
DR Moto mewakili kepentingan keselamatan kenderaan dua roda.
Sebagai mat motor dan menggunakan motosikal sebagai pengangkutan
utama, Azlan cukup memahami masalah dan keluh kesah yang dihadapi
penunggang motosikal terutama ketika berhadapan dengan masalah jalan
yang rosak.
“Banyak perkara berkaitan yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak harus dilihat secara serius,” katanya.
Azlan yang banyak menganjurkan kempen keselamatan jalan raya terutama
dalam kalangan pengguna motosikal berkata, apabila tayar motosikal
melanggar lubang, penunggang mudah terpelanting dan mengalami kecederaan
selain motosikal rosak.
“Kenderaan lain seperti kereta atau lori yang cuba mengelak lubang
secara mengejut atau mendadak juga boleh menghimpit penunggang motosikal
yang melalui jalan sama ketika itu.
“Kedua-dua perkara ini sering menyebabkan kemalangan maut dan
penunggang motosikal digilis kenderaan yang lebih besar,” katanya.
Selain itu, keadaan motosikal yang kerap melalui jalan yang rosak
dan berlubang akan mengakibatkan risiko lain yang boleh mengundang
kecelakaan. – Bernama Kosmo
2 comments:
erkk ini adalah terukkkk :( adessss.huhuhuuh
yer ar..memang merosakkan kereta..sakit hati...
Post a Comment