UMUR mereka baru 15 tahun tetapi dalam usia sementah itu, tiga remaja ini memilih untuk menggalas senjata dan menjadi lanun yang paling ditakuti Teluk Aden, Somalia.
Kasayah Dhalin Hassan, Mohammad Abadi Ibrahim dan Hassan Yusuf Ahmad adalah antara tujuh lanun Somalia yang ditahan dalam satu operasi menyelamatkan kapal dagang Malaysia, MT Bunga Laurel oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Januari lalu.
Ketika ditawan Somalia, kapal dagang yang membawa muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura itu berada kira-kira 300 batu nautika atau 550 kilometer di timur Oman.
Selain tiga remaja terbabit, empat lagi rakan mereka, Ahmad Othman Jamal, Abdil Eid Hassan. Koore Mohammad Abdile dan Abdi Hakim Mohd. Abdi, berusia di antara 18 hingga 25 tahun turut dicekup Pasukan Pelindung Khas ATM .
Kelmarin, tujuh lanun tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan melepaskan tembakan senjata api kepada tentera Malaysia.
Mereka bakal berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.
Pembabitan aktif rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam sejak 10 tahun kebelakangan ini amat membimbangkan.
Teluk Aden yang terletak di antara Yemen di Semenanjung Arab dan Somalia di Afrika kini dianggap ‘Teluk Paling Bahaya’ di dunia.
Namun, lebih 21,000 kapal masih melaluinya setiap tahun memandangkan ia merupakan laluan air pintas yang menghubungkan Eropah dan Asia menerusi Terusan Suez.
Lanun moden Somalia dianggap licik, sofistikated dan melanun untuk meraih wang tebusan jutaan dolar yang begitu besar nilainya di negara Somalia yang kebanyakan rakyatnya hidup dalam kedaifan.
Senjata api
Menurut seorang penganalisis politik untuk saluran BBC, Mohamed Mohamed, kumpulan lanun Somalia dibentuk oleh pakar dalam tiga bidang berbeza.
BERPURA-PURA menangkap ikan sebelum menyerang kapal dagang menjadi taktik popular lanun Somalia
Ia termasuk bekas nelayan yang menjadi ketua kerana kepakaran mereka mengenai laut, bekas militan yang mempunyai kemahiran bertempur dan juruteknik sokongan yang mahir mengendalikan peralatan operasi berteknologi tinggi seperti telefon satelit, kelengkapan ketenteraan dan sistem kedudukan global (GPS).
“Selain menjadi lanun, mereka juga berniaga senjata api di Yemen dan Mogadishu. Mereka juga memberi perkhidmatan pinjaman wang,” lapor Mohamed.
Kawalan keselamatan yang semakin longgar menjadikan ratusan lelaki yang bersenjata memilih untuk menyertai kumpulan perompak laut apatah lagi ‘kerjaya’ itu menjanjikan kehidupan yang mewah di Somalia.
Seorang penduduk di Gawoore, Puntland, iaitu negeri yang paling ramai penduduknya menjadi lanun, Abdi Farah Juha, berkata, kekayaan hasil daripada merompak membolehkan lanun Somalia hidup senang.
“Mereka ada duit, ada kuasa dan kumpulan mereka semakin kuat dari sehari ke sehari.
“Mereka berkahwin dengan wanita muda yang cantik, membina rumah besar serta memiliki kereta dan senapang baru,” katanya yang menganggap kerjaya sebagai lanun boleh diterima masyarakat, malah sudah menjadi satu trend.
Bagi rakyat yang sebelum ini terpaksa menjadi mangsa konflik antara puak selepas kejatuhan Presiden Mohamed Siad Barre pada tahun 1991, hasil daripada aktiviti melanun dianggap sebagai habuan termewah dalam hidup mereka.
“Kebanyakan lanun berusia 20 hingga 35 tahun dan mereka melakukannya kerana wang.
“Mereka tidak pernah dilihat bergaduh sesama sendiri kerana terikat dengan perjanjian wang malah lanun yang tercedera juga jarang ditemui,” katanya.
Walaupun ada di kalangan mereka yang ditangkap dan mati di tangan tentera asing, aktiviti lanun Somalia tidak tergugat.
Anarki
Adakah lanun Somalia sangat ganas dan tidak boleh dikalahkan walaupun oleh pasukan tentera marin terbaik dunia?
Mengulas senario lanun yang semakin serius, Pensyarah Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menyifatkan kejatuhan regim Mohamed Siad mengakibatkan Somalia berada dalam keadaan lebih kritikal selepas tiada kerajaan pusat yang sahih untuk mentadbir negara tersebut.
“Perang saudara antara dua wilayah di Somaliland dan Puntland memburukkan lagi keadaan,” jelasnya.
Tambah Atory, ketiadaan undang-undang dan pentadbiran sistematik menjadikan Somalia sebuah negara bebas atau digelar anarki.
“Pergolakan terjadi di mana-mana termasuk perairan negara kerana setiap kawasan pantai dikawal militan tertentu yang diketuai pemimpin puak.
“Keadaan yang kucar-kacir menyebabkan rakyat semakin tersepit.
“Desakan hidup memaksa mereka menjadi apa saja walaupun perlu merompak dan menjadikan anak kapal sebagai tebusan,” jelasnya lagi.
Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Pengajian Strategi, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff pula
berpendapat modus operandi yang dijalankan oleh lanun Somalia bersifat profesional dan sistematik.
“Setiap kapal asing yang melalui perairan Somalia perlu membayar cukai atau royalti kepada militan yang mengawasi kawasan itu.
PENANGKAPAN lanun Somalia oleh tentera India baru-baru ini sangat wajar untuk menyekat keganasan mereka.
“Keengganan akan menyebabkan pemimpin puak bertindak lebih agresif dengan menyerang dan merampas barangan daripada kapal asing tersebut,” ujarnya.
Selain itu, tindakan pemberian permit kepada kapal asing untuk menangkap ikan di perairan tersebut tanpa menghiraukan penduduk tempatan turut membangkitkan kemarahan rakyat tempatan.
Bimbang hak asasi dirampas oleh pendatang asing, tindakan lebih ganas dipilih bagi mengelakkan penindasan ke atas mereka.
Bagaimanapun, istilah lanun yang dilabelkan pedagang antarabangsa sebenarnya bukan berpunca daripada tindakan agresif mereka semata-mata.
Pada awalnya pengiktirafan diberikan kepada beberapa puak sahaja untuk menguasai wilayah tertentu di Somalia namun apabila kuasa itu berjalan, komuniti antarabangsa pula melabelkan mereka sebagai lanun.
Oleh kerana tiadanya pengawasan antarabangsa maka jumlah kes berkaitan lanun di perairan tersebut semakin meningkat berikutan desakan untuk mendapatkan wang membeli senjata.Kosmo
Fairy Notes-Siapa minat Jack Sparrow?Lanun femes emes dari Hollywood :P
2 comments:
ada lagi lanun rupanya... huhu.. sebab dni jarang ambil tahu tentang perairan kot...
risau pula bila teringat dulu pernah orang sabah kita cuma tangkap ikan tapi kena tangkap ngan lanun
lovely dini-ha'ah kan,takut.hihi,xper akak bace news paper jer
Post a Comment