MASJID Jamek Sultan Ismail yang mempunyai pengaruh Inggeris antara tarikan di Muar.
HISTORIOGRAFI bandar Muar yang ditelaah sentiasa menerawang di benak fikiran sehingga terpantul ke dasar mimpi. Penulis juga sentiasa dibayangi dengan ayat yang paling signifikan dalam sebuah naskhah lama yang dibaca.
Pada satu catatan, Muar yang merupakan kota kedua Portugis di Semenanjung Tanah Melayu adalah saksi kepada permulaan keagungan bangsa. Kota itu juga menjadi medan kepada kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka yang cukup masyhur pada zaman silam.
Baris ayat-ayat itu sememangnya mempunyai satu takwil yang cukup besar bagi penulis. Ia telah memberi pemahaman kepada penulis bahawa Muar adalah sebuah bandar yang bukan calang-calang pada suatu ketika dahulu. Tidak keterlaluan juga untuk disimpulkan, kekayaan sejarah Muar setanding dengan Melaka.
Benar, seperti kata tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, Muar atau Teluk Dalam dilingkari dengan gugusan pengkisahan lampau yang perdana.
Muar yang menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Majapahit pada tahun 1350 sememangnya tidak mewariskan sebarang artifak untuk ditatapi.
Namun, selepas Muar menjadi kubu terakhir serangan Jepun dan kemudian dicengkam oleh Inggeris, bandar itu telah meninggalkan banyak warisan yang kekal utuh sehingga kini.
Penulis dan jurufoto, Amin Farij Hasan menganggap Muar bukanlah sebuah bandar biasa. Jujur kami suarakan, aura zaman kolonial Inggeris di bandar yang pernah dihikayatkan dalam Suma Oriental masih segar menyapa.
Opera kehidupan khalayak Muar juga jauh berbeza dengan kota raya Kuala Lumpur. Masyarakat Muar bercitra tinggi. Semangat mereka memelihara apresiasi seni warisan jelas menunjukkan kesungguhan untuk memberitahu dunia bahawa Muar pernah makmur pada era silam.
Seni bina klasik
Tidak hairanlah jika bandar diraja di selatan Johor itu digelar bandar pencen. Atas faktor itulah, Muar berjaya memukau pandangan si pengembara. Melintasi Jambatan Sultan Ismail, anda seolah-olah berada di ‘dunia’ lain.
Seperti kata seorang anak jati Muar, Salleh Minhat, 62, bandar itu sesungguhnya tewas dalam usaha mendirikan bangunan pencakar langit.
“Namun, Muar telah menjalankan tugas yang paling sukar iaitu mengekalkan seni reka bangunan yang dibangunkan sebelum Perang Dunia Kedua. Malah, di merata ceruk, banyak ejaan bahasa Melayu lama masih dikekalkan oleh si empunya premis,” katanya ketika bersembang bersama penulis baru-baru ini.
Kata lelaki itu lagi, wilayah bandar Muar juga unik kerana ia dikelilingi bangunan yang berciri klasik.
“Sama ada anda berada di Jalan Abdullah, Jalan Maharani, Jalan Sisi hinggalah ke Jalan Petrie, pasti terselit dua tiga buah kedai yang kebanyakannya menjual barang dapur kuno.
“Terdapat juga bangunan kedai yang berunsur pascakolonial seperti bangunan Hotel Embassy,” ujarnya bangga.
Selain itu, masih terdapat tulisan Cina yang dilukis dengan menggunakan cat merah pada tiang sebesar kayu balak.
Namun, yang paling mencuri tumpuan lensa pelancong ialah Bangunan Kastam. Bangunan itu siap dibina pada tahun 1909 ketika Muar menjadi satu-satunya bandar yang mempunyai landasan kereta api.
Jalan Petrie mungkin layak dilabelkan sebagai lorong bersejarah. Kawasan tersebut membariskan bangunan seperti Mahkamah Tinggi Muar yang berusia 126 tahun dan mempunyai sentuhan neoklasik.
Pejabat Tanah Muar (dulu Bangunan Sultan Abu Bakar) yang terletak bersebelahan juga mempunyai elemen sejarah yang tidak terperi. Begitu juga dengan Sekolah Tinggi Muar yang dibina dalam tahun 1914 dan Balai Polis Cawangan Trafik.
Berjalan kaki mungkin cara terbaik untuk menghayati keindahan dan sejarah yang terpatri di Muar. Jika tidak, para pengembara barangkali gagal menemui hotel-hotel lama seperti Hotel Federal, Hotel Embassy dan Hotel Paris. Premis-premis itu bagaimanapun hanya tinggal nama sahaja.
Kopi Muar
Barangkali ramai yang bersetuju dengan penulis bahawa tidak lengkap rasanya jika tidak menikmati secawan kopi di Jalan Maharani. Bukan setakat rekaan dan susun atur kedainya yang unik, bahkan aroma kopinya mampu mententeramkan gelodak jiwa.
“Kata orang, apabila minum kopi di Muar ibarat mengembalikan nostalgia zaman 60-an kerana corak hidangannya tidak berubah sejak dulu,” kata Kiar Cher Yong, 26, pewaris jenama Kopi 434.
Di kala senja, ziarah terhenti seketika di Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Papan tanda masjid masih mengekalkan ejaan lama. Percikan cahaya lampu neon melambai kami untuk singgah sebentar.
Rumah Allah yang dibina pada tahun 1927 itu mempunyai pengaruh Inggeris. Bumbung bangunan utama merupakan bumbung limas beratapkan genting lama. Menariknya tentang masjid yang terletak di tebing Sungai Muar ini, terdapat menara empat tingkat yang mempunyai kontur dan reka corak yang unik.
Mercu tanda terbaru di Bandar Maharani ini ialah Masjid Jamek Sultan Ismail yang didirikan betul-betul di utara tebing Sungai Muar. Pelan arkiteknya persis kepada Masjid Jamek Sultan Ibrahim.
Jika posisi kedudukan anda dari bandar Muar atau dari Jambatan Sultan Ismail, lokasi penyatuan ummah itu dilihat seakan-akan terapung di atas sebatang sungai.
Untuk menikmati panorama masjid atau rutin aktiviti komoditi masyarakat Muar, apa kata anda menaiki bot menyusuri Sungai Muar yang memakan masa lebih kurang sejam.
Dalam lipatan sejarah tertulis akan keunggulan Muar. Bandar itu satu-satunya bandar di negara ini yang mempunyai sistem kereta apinya sendiri yang ditubuhkan pada tahun 1889 dan berakhir pada tahun 1925. Ia menghubungkan Jalan Sulaiman dan Sungai Pulai sejauh 22.5 kilometer (km).
Pencapaian itu dikatakan sungguh luar biasa memandangkan tiada satu bandar pun di Malaya pada ketika itu mengimplemenkan idea yang sedemikian.
Memetik kenyataan dalam beberapa rujukan, pihak pentadbiran Keretapi Kerajaan Muar (MSR) mempunyai perancangan untuk memanjangkan landasan kereta api hingga ke Batu Pahat. Bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian ekoran halangan geografi dan kewangan.
Kesan landasan kereta api telah hilang selepas tapaknya digantikan dengan pembinaan Jalan Temenggung Ahmad. Bagi membuktikan cerita tentang kewujudan MSR bukan dongengan, lokomotif MSR yang diiktiraf tertua di Malaysia kini dipamerkan di Taman Tanjung Emas.
Kata seorang pengunjung ketika berbual bersama penulis, Haseena Seelan, 29 : “Saya teruja melihat Muar lebih hebat daripada mana-mana negeri di Malaysia kerana ia memiliki segala-galanya sejak dulu lagi.”
Khazanah berharga
Hari terakhir di Muar, kami mengalihkan stereng menuju ke Kolam Air Panas Sungai Gersik yang terletak di Kampung Sungai Gersik, Mukim Sungai Balang. Lokasi itu kira-kira 30 km dari bandar Muar.
Kolam Air Panas Sungai Gersik merupakan satu-satunya lokasi air panas semulajadi yang kini dikomersialkan. Terpercik perasaan gerun tatkala dikisahkan tentang peristiwa ganjil di kolam berkenaan. Namun kolam yang ditemui oleh seorang penduduk kampung yang bernama Abd. Rahman Harshad pada tahun 1911 merupakan khazanah yang tidak ternilai untuk bandar Muar.
Penerokaan sejarah di bandar Maharani semakin bermakna apabila berpeluang melawati Makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja, Pagoh. Almarhumah permaisuri Sultan Alauddin juga dimakamkan bersebelahan dengan makam baginda. Batu nisan kedua-duanya dipercayai ditempah khas dari Acheh dan diukir dengan kalimah al-Quran. Kawasan makam dikawal rapi oleh penduduk kampung dan pihak berwajib bagi mengelakkan aktiviti pemujaan di makam itu.
Meskipun Muar dibaluti dengan kepadatan sejarah, bandar pencen itu turut membangun selari dengan arus kemodenan. Program mengindahkan pesisir pantai dan pembukaan penempatan baru yang lebih moden telah memesatkan pembangunan bandar itu.
Seperti kata seorang anak jati Muar, Mohd. Zamani Abdullah, 75 : “Kita telah membangun tapi kita sedikit pun tidak jejaskan elemen-elemen klasik yang di tinggalkan oleh nenek moyang dan penjajah kita. Orang Muar harus berbangga kerana bandar ini sebenarnya telah menyimpan banyak peristiwa sejarah walaupun tiada bukti arkeologi yang mengesahkannya.”
KosmoFairy Notes-muo memang best!!sarapan satay..yum2
6 comments:
dulu tak tau camner rupanya muar ni..bila dah kawin dengan orang johor barulah tau apa istimewanya pekan muar ni..suka dengan masakan kat sana.
Ikan bakar Muo, mee bandung muo .. best!!
wahhh.. nanti dni g sana ya kak:)
pernah gi muar hanye sekali sebelum kawen aritu..tu pon sebab kawan kawen.. tak sempat menyinggah nak amik gambar ape pon...:)
tak tau jugak cmne rupanya muar ni
tk pnh sampe...sian kan?
Lovely k.ina-untung dpt org jhr ek,hehe..mmg best kan kak mknan muo
Lovely kc-terbaik!hihi
Lovely dini-pg honeymoon pon best dini,hihi
Lovely pai-hak2,xde nya kesian...ku ganu penahn lalu ja..xpenah jejak tanah nya lagi..tak kesian? :P
Post a Comment