Beloved Nuffnang

Tabung SSPN untuk baby,InsyAllah..Amin

Counter

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, April 2, 2011

Kisah Biola



MEXICO antara negara yang berhadapan dengan kes-kes jenayah yang kritikal. Setiap hari sekumpulan penagih tegar didapati sanggup membunuh puluhan orang awam yang tidak berdosa. Pergaduhan dan kegiatan gengsterisme pula semakin menjadi-jadi sehingga tidak menampakkan kesudahan.
Namun, situasi tegang berkenaan sama sekali tidak menakutkan Alma Rosa Gonzalez yang merupakan salah seorang bekas penagih heroin. Dia sedar, barangkali sudah terlambat untuk menyedarkan kumpulan gengster dan penagih dadah tetapi, dia masih ada peluang menyelamat kanak-kanak di sekitar Mexico yang mempunyai kira-kira 1.5 juta penduduk.
Enggan membiarkan kanak-kanak yang masih bersifat naif itu mengikuti jejak bapa mereka bergelumang dengan dadah dan senjata api, maka Gonzalez mengambil inisiatif mengubah hidup di sana yang lebih positif iaitu menerusi bermain alat muzik biola dan trompet. Dia menganjurkan program orkestra belia Gonzalez.
Program yang diinspirasi daripada rangkaian orkestra popular Venezuela yang dikenali sebagai El Sistema itu membantu anak-anak muda miskin mengubah nasib menerusi muzik.
Meskipun serba kekurangan dari segi kewangan Gonzalez tetap berusaha menyediakan sebuah kelas buat pelajarnya yang terdiri daripada kanak-kanak yang berasal daripada keluarga miskin. Kelas itu dibina di atas tapak longgokan sampah sarap. Kawasan sekitarnya dikelilingi jalan raya tidak berturap dan dipenuhi rumah-rumah terbengkalai yang didiami kumpulan gengster Mexican Blood.
Setakat ini program orkestra Gonzalez tersebut telah berjaya membantu lebih 400 kanak-kanak di bandar Ciudad Juarez. Lebih membanggakan, kejayaan demi kejayaan masih terus dikecapi meskipun pada satu tahap mereka pernah diancam, dirompak dan para pelajar pula terpaksa meninggalkan kelas apabila ibu bapa mereka diculik.
“Keganasan amat teruk di sini. Mereka membunuh orang seperti membunuh anjing,” jelas Angelica Palacios, ibu tunggal kepada Jose Angel, 10, yang mempelajari biola di sekolah tersebut.
“Bagi Jose biola adalah segala-galanya padahal, pada mulanya dia enggan membawa alat muzik itu bersamanya,” tutur Palacios.
Sejak tiga tahun lalu, dianggarkan lebih 7,200 orang mati angkara keganasan dadah di Ciudad Juarez, salah satu kota di Mexico yang serba kekurangan dari segi taman permainan, sekolah dan pengangkutan awam.
Walaupun awal tahun lalu, beberapa pihak sudah mengatur strategi untuk membanteras masalah dadah tetapi jawapannya masih gagal. Seramai 10,000 tentera di Ciudad Juarez setakat ini juga gagal membendung masalah dadah dan keganasan.
Menurut salah seorang pekerja sosial, bandar yang dikelilingi padang pasir dan timbunan sampah sarap itu tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Para pekerja kilang pembuatan barangan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dibayar upah yang rendah kesan faktor keganasan yang melanda.


PELAJAR Gonzalez membuat persembahan di sebuah gereja sempena sambutan Krismas Disember tahun lalu.




Sehubungan itu Presiden Mexico, Felipe Calderon melancarkan program untuk membina semula bangunan sekolah di bandar, taman dan hospital apabila mendapati anak-anak muda semakin serasi dengan keganasan.
Kerajaan persekutuan kini membantu mengumpul dana untuk program orkestra Gonzalez walaupun selama beberapa tahun Gonzalez terpaksa bergantung kepada sumbangan amal pelbagai pihak. Program orkestra tersebut akan dijalankan dalam beberapa siri di sekolah dan pusat komuniti.
Jelas Gonzalez yang menagih sejak usia 14 tahun, dia terdorong untuk mewujudkan orkestra apabila mendapati tiada inisiatif atau program yang dilakukan bagi membantu meningkatkan taraf hidup kanak-kanak di bandar itu.
Kebanyakan kumpulan amal lebih cenderung kepada matlamat untuk memujuk golongan remaja meninggalkan kumpulan gengster dan pergi mencari kerja untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Namun kini, Gonzalez yang pernah bekerja di gereja dan begitu mencintai muzik mampu tersenyum. Dia melahirkan kesyukuran apabila 70 kanak-kanak dari kelasnya telah mengambil bahagian dalam konsert Krismas di gereja tempatan pada 19 Disember tahun lalu. Mereka memukau para tetamu dengan bermain muzik Bach, Handel dan Mozart.
Sementara itu, separuh daripada pelajarnya sudahpun melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di bandar Mexico. Gonzales berharap pada suatu hari nanti segelintir daripada kanak-kanak berkenaan bermain untuk Orkestra Simfoni Kebangsaan Mexico iaitu salah sebuah kumpulan orkestra yang tertua di negara itu.
“Saya ingin melihat suatu hari nanti ahli-ahli gengster membawa anak-anak mereka bersama alat muzik datang ke sekolah. Ia menunjukkan petanda positif bahawa kehidupan kanak-kanak bakal melalui fasa perubahan yang positif.
“Jika pada 20 atau 30 tahun lalu pihak kerajaan berusaha membentuk kanak-kanak dengan muzik saya yakin kami tidak akan menjadi seperti hari ini,” jelas Gonzalez ketika ditemui Reuters.
Gesekan biola menenangkan jiwa
Sementara itu, salah seorang pemain biola tanah air, Mohd. Khairi Razali, menyokong kewujudan program orkestra Gonzalez tersebut.
Jejaka berusia 26 tahun itu menyifatkan pendedahan muzik kepada kelompok kanak-kanak bukan sekadar meningkatkan keyakinan diri malah, turut melahirkan individu yang berdisiplin.
“Bermain muzik bukan mudah. Tanpa usaha, fokus dan latihan yang sistematik ia menyukarkan individu menghafal not ataupun pengiraan tempo. Sebab itu, setiap pemain muzik berkali-kali disaran agar sentiasa memberi tumpuan sewaktu kelas teori dan praktikal berlangsung.
“Selain itu, setiap hari individu perlu berdisiplin memperuntukkan selama sejam berlatih alat muzik. Inisiatif ini wajar dipraktikkan khususnya buat mereka yang bermain bersama grup atau orkestra bagi menghasilkan keharmonian bunyi sewaktu membuat persembahan,” jelas Mohd. Khairi atau Khairi yang pernah menyertai Festival Kesenian Asia ke-10 di Zhengzhou, China dan Festival Stompin Sabah 2008.


TARAF hidup dan disiplin anak-anak jalanan di Mexico semakin positif apabila terlibat dalam orkestra muzik.


Berbicara lanjut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu melihat program berkenaan sedikit sebanyak membantu menyuntik mood dan jiwa yang positif dalam kalangan kanak-kanak.
Tegas Khairi yang pernah merangkul tempat ketiga dalam pertandingan Asian Beat Final di Taipei, Taiwan, apabila kanak-kanak sibuk dengan aktiviti muzik maka, ia dapat mengelakkan mereka daripada bergelumang dengan kegiatan yang tidak sihat seperti kegiatan gengster dan pengambilan dadah.
“Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya sendiri yang hampir sedekad bermain alat muzik. Bayangkan, dek terlalu sibuk berlatih menggesek biola membuatkan kadangkala saya terlupa meluangkan masa bersama rakan-rakan.
“Bagaikan sukar untuk berenggang dengan biola. Alunan muzik halus dan indah yang keluar menerusi gesekan alat muzik ini memberikan suatu keseronokan yang unik dan menenangkan jiwa,” ujar Khairi, graduan muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur yang turut mahir bermain gitar.
Muzik jadi terapi
Dalam pada itu, Persidangan Muzik Amerika (AMP) yang dianjurkan pada tiga tahun lepas mencapai kesepakatan bahawa golongan kanak-kanak yang didedahkan dengan lagu dan tarian dapat menghakis perasaan malu dan memberi kebaikan kepada otak.
Hasil kajian yang dilakukan AMP mendapati muzik adalah kaedah terbaik untuk meningkatkan kekuatan otak. Buktinya, kanak-kanak yang kerap mendengar muzik atau beraksi di atas pentas antara kumpulan pelajar yang memperoleh gred lebih cemerlang dalam pelajaran terutama matematik.
Situasi itu turut diakui oleh Ketua Jabatan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Raja Azuan Nahar Raja Adlan. Menurutnya, muzik ialah terapi yang paling ideal untuk minda, menenangkan fikiran dan sosial.
Bukan itu saja, muzik juga memberi peluang dan platform yang terbaik kepada individu bereksperimen dan mengekspresi diri. Contohnya, penggemar muzik hip hop yang meluahkan perasaan menerusi cetusan lirik lagu, intonasi rap dan corak tarian yang rancak.
“Malangnya di Malaysia kebanyakan ibu bapa menganggap muzik itu melalaikan dan memberi kesan buruk kepada anak-anak. Mereka seringkali mengaitkan muzik penyebab anak-anak terjebak pada dadah, pergaulan bebas dan aktiviti seks.
“Tetapi saya yakin, sekiranya anak-anak didedahkan kepada saluran muzik yang betul, mereka dapat membezakan muzik negatif dan positif,” terang Raja Azuan yang turut mengalakkan ibu bapa membawa anak-anak menyaksikan pementasan teater muzikal kanak-kanak.Kosmo


Fairy Notes-suka bace rencana2 ni

3 comments:

Kak Amy said...

perghhh panjangnya entri nie , x dapat baca habis lagi sat gi sambung balik hehe...boleh pulak macam tue...

mamawana said...

Betul juga tu muzik sbg terapi asal tidak berlebih lebihan. AlQuran itu juga dijadikan berseni, bertaranum, bacaan yg indah buat halwa telinga. Itu terapi terbaik.

Sheherazade said...

Lovely Amy-hihi xpe take ur time dear

Lovely Mamawana-sesungguhnya,setuju sgt2 :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Labels

Artikel (222) Award (9) Bahan Santai (120) Beloved Nuffnang (26) Celebration (105) Cite biase jer (153) Doa (11) Emosi (183) First Time (186) Gift (6) Info (264) Kawen-Kawin (26) Lirik (21) Love (46) Nasihat (68) Pia berhujung minggu (83) Tag (21)